ALOR SETAR: Polis berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup dadah dipercayai ke luar negara susulan penahanan seorang lelaki bersama bahan terlarang itu berjumlah RM4 juta di Kuala Muda, kelmarin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam operasi di sebuah kompleks perniagaan di Sungai Petani itu, pihaknya berjaya memberkas lelaki tempatan berusia 46 tahun bersama dadah yang disorokkan di bonet kereta jenis Honda.
“Suspek dipercayai ‘transporter’ yang berasal dari Johor diberkas bersama 51 kilogram (kg) syabu dan 14.9 kg pil MDMA (methtylenedioxymethamphetamine) bernilai RM4 juta. Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan mempercayai dadah ini bukan untuk pasaran tempatan tetapi luar negara.
“Rampasan dadah tersebut jika terlepas boleh digunakan untuk 255,000 orang dan pil MDMA pula boleh digunakan oleh 28,000 penagih. Kita berusaha menyekat pembekalan dadah ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Fisol berkata, pihaknya turut menyiasat tentang kemungkinan kawasan perairan di sekitar Kuala Muda dijadikan kawasan transit bagi menyeludup dadah yang dipercayai dibawa dari selatan tanah air.
Katanya, suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, ujar Fisol, polis Kedah meneruskan operasi memburu pemilik motosikal yang melakukan kesalahan ubah suai dalam usaha mengekang gejala rempit dan lumba haram.
Menurutnya, sepanjang tahun ini pihaknya merampas sebanyak 3,580 komponen motosikal yang melibatkan 1,640 ekzos, 1,339 (Swing Arm), 12 (karburator), tiga (ECU) dan 586 lain-lain komponen.
“Hasil operasi yang dijalankan berjaya membuat sitaan item-item ubah suai motosikal di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sepanjang 2024, jumlah yang dirampas adalah 6,261 item yang melibatkan 3,319 ekzos, 2,222 (Swing Arm), 1 (enjin), 50 Karburator, sembilan ECU dan 660 komponen lain.
“Secara keseluruhan, jumlah rampasan bermula 2024 sehingga kini adalah sebanyak 9,841 item manakala sebanyak 1,235 item dilupuskan setelah mendapat arahan pelupusan daripada majistret di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya. – UTUSAN