ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyambut baik langkah kerajaan menetapkan harga beras putih tempatan bersubsidi pada RM26 bagi sekampit 10 kilogram (kg) untuk keperluan keluarga miskin.
Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pengumuman itu dianggap berita baik kepada pengguna yang sudah lama menunggu beras putih tempatan berada di pasaran.
“Untuk permulaan ini saya anggap ini berita baik kepada pengguna. Namun kalau kita lihat sebaliknya beras putih tempatan ini hilang begitu lama dan tindakan tidak diambil kepada pihak yang menyeleweng beras ini.
“Jadi kita tidak rasa bahawa beras ini patut dijadikan beras subsidi kerana beras ini sememangnya keberadaan di pasaran sepatutnya 65 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, projek rintis itu adalah untuk tempoh enam bulan dengan setiap ketua isi rumah (KIR) miskin termasuk 77,000 KIR miskin tegar boleh membeli dua kampit beras setiap orang.
Pengumuman itu memberi kelegaan kepada kira-kira 400,000 keluarga miskin di seluruh negara dengan 24 juta kampit akan dijual melalui projek rintis mulai 1 Mac ini.
Mohamad Yusrizal mencadangkan agar beras tempatan dinaik taraf kepada beras yang berada pada tahap tinggi kerana dimakan oleh pengguna domestik.
“Mengapa jumlah pengeluaran yang banyak ini dijadikan beras subsidi. Kita sudah ada contoh pada zaman dahulu beras nasional yang disubsidikan dengan harga jualan RM16.50 untuk 10 kg,” katanya. – UTUSAN