KUALA LUMPUR: Penyasaran subsidi petrol RON95 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat kerana kerajaan masih mencari mekanisme terbaik supaya benar-benar mencapai objektif.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ini termasuk kerajaan perlu memastikan tidak berlaku kenaikan kepada harga barang dan perkhidmatan secara tidak munasabah dan tidak terkawal akibat daripada penyasaran subsidi tersebut.
“Mengambil kira mekanisme yang digunakan semasa kerajaan melaksanakan penyasaran diesel pada 2024 yang lalu, pihak kementerian sedang menambahbaik sistem sedia ada untuk memberikan kuota petrol bersubsidi kepada kenderaan komersial yang layak.
“Pada ketika ini, kumpulan sasar yang akan menggunakan kad Fleet bersubsidi ini sedang dikenalpasti dan satu perbincangan di antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Ia akan dilaksanakan bagi memuktamadkan senarai akhir kumpulan yang layak untuk menggunakan fleet card petrol bersubsidi ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH- Pasir Gudang) sama ada penyasaran subsidi bersasar bahan api itu dilancarkan pada pertengahan tahun ini atau sebaliknya dan persiapan kementerian untuk menangani isu kenaikan harga barangan.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pemberian petrol bersubsidi kepada kumpulan sasar secara tidak langsung dapat mengekalkan kos perkhidmatan dan penghantaran barangan keperluan kepada rakyat, seterusnya tidak membebankan rakyat dengan tambahan kos sara hidup.-UTUSAN