PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneruskan projek pembinaan dua lagi kapal peronda luar pesisir (OPV) bagi kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) biarpun kontrak asal pembinaan ditamatkan tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah meminta supaya Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman meneliti perkara itu termasuk mencari kontraktor baharu.
“Sebelum ini, Maritim hanya menerima satu daripada tiga OPV iaitu Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah yang sudah bertugas menjaga perairan negara.
“Bagaimanapun, dua lagi (OPV) masih belum tiba sebelum Kabinet memutuskan penamatan dibuat. Saya kemudian menetapkan hala tuju baharu bahawa ia (OPV) mesti diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara 2024 di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan menamatkan kontrak dengan THHE Destini Sdn Bhd (TDSB) selepas ia gagal menyiapkan pembinaan dua lagi kapal OPV berkenaan.
Dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat minggu lalu, Saifuddin berkata, penamatan kontrak itu ditandatangani pada 31 Disember 2024 dan syarikat berkenaan dikenakan Kadar Denda Dan Gantirugi Ditetapkan (LAD) lebih RM12 juta di atas kelewatan menyiapkan kapal OPV 2 dan OPV
Sementara itu, Saifuddin berkata, kerajaan sebelum ini telah membelanjakan lebih RM600 juta untuk projek pembinaan tiga OPV berkenaan namun syarikat itu hanya mampu menyiapkan sebuah kapal.
“Kita sudah berhabis banyak, ini adalah hal yang kami warisi daripada pentadbiran lama, kami bukan hendak main salahkan siapa,” katanya.
Kerajaan memeterai perjanjian dengan THHE Destiny pada 2017 untuk membekalkan tiga unit OPV pada kos RM740 juta untuk Maritim Malaysia dan kapal peronda berkenaan dijadual diserahkan pada 2022.
Bagaimanapun masalah kewangan syarikat induknya THHE serta pandemik COVID-19 menyebabkan kerja pembinaan kapal berkenaan di Pulau Indah tertangguh. – UTUSAN