ALOR GAJAH: Kerajaan yakin pembelian 30 buah pesawat pejuang F/A-18C D Hornet terpakai milik Tentera Udara Kuwait (KAF) tidak merugikan kerana pesawat itu masih boleh digunakan bagi tujuan memantapkan pertahanan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari malah berkata, berdasarkan penilaian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat berkenaan masih boleh digunakan untuk satu tempoh yang panjang.
Menurutnya, terdapat keperluan mendesak kenapa perlunya pembelian pesawat pejuang terpakai itu berbanding pembelian baharu yang perlu menunggu satu tempoh masa yang tidak dapat ditentukan.
“Sebenarnya kita lihat dua aspek yang pertama persediaan kita dari segi pertahanan kita mesti mempersiapkan pertahanan negara dan salah satu untuk mempercepatkan kita guna aset terpakai.
“Cabaran pembelian aset baharu adalah masalah masa jadi bila kita nak persiapkan pertahanan kita mempunyai pilihan beli aset terpakai itupun selepas penilaian dibuat anggota TUDM sendiri.
“Berdasarkan penilaian mereka memang ada keperluan untuk kita beli pesawat itu yang mempunyai keupayaan dari jangka masa panjang sebenarnya boleh memberikan sesuatu yang baik bagi menjaga kedaulatan dan pertahanan negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hi-Tea dan penyampaian Ganjaran Hilang Upaya kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Penyayang, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Alor Gajah di sini hari ini.
Mengulas lanjut Adly berkata, negara tidak mempunyai masalah daripada segi guna tenaga untuk mengendali pesawat berkenaan cuma menanti aset itu untuk tiba.
Menurutnya, pembelian pesawat tersebut dijangka dimuktamadkan tahun ini selepas semua dokumentasi antara KAF dan Amerika Syarikat (AS) dapat diselesaikan tidak lama lagi.-UTUSAN.