KLUANG: Pemandu kereta Axia berwarna putih yang membuat pusingan beratus kali di Bulatan Mahkota di sini disahkan menghidap masalah mental dan mempunyai rekod berkaitan penyakit skizofrenia.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
Katanya, lelaki itu juga menerima rawatan di sebuah klinik dan mempunyai kad rawatan serta pernah dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru pada 2020 dan 2021.
“Pada pukul 8.20 malam, Khamis lalu polis menerima laporan berhubung kejadian itu. Kenderaan terbabit berjaya dihentikan anggota polis kira-kira 10 minit kemudian.
“Tiada sebarang kemalangan dan kecederaan dilaporkan berlaku. Siasatan dilakukan mendapati kereta yang dipandu itu adalah milik abang kepada lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Bahrin, keluarganya dinasihatkan tidak membenarkan lelaki itu keluar rumah tanpa ditemani ahli keluarga, selain dilarang memandu kenderaan.
Sebelum itu, tular klip video memaparkan kereta Perodua Axia yang mengelilingi Bulatan Mahkota beratus kali bermula pagi hingga malam.
Menerusi video berdurasi 57 saat itu, kereta terlibat membuat pusingan sambil menyalakan lampu isyarat kecemasan atau ‘double signal’. – UTUSAN