KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menyasarkan untuk melantik seramai 3,000 pegawai perubatan siswazah (PPS) atau doktor pelatih untuk ditempatkan di 49 Hospital Latihan Siswazah (HLS) di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelantikan PPS kini dilaksanakan sebanyak enam kali setahun dengan sela masa dua bulan berbanding dengan tempoh menunggu lebih satu tahun pada sebelum ini.
Kata beliau, 3,316 graduan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) pada tahun lalu sudah dilantik sebagai doktor pelatih dan ditempatkan di HLS seluruh negara.
“Bagi tahun ini, Kementerian Kesihatan menyasarkan akan melantik seramai 3,000 PPS yang akan ditempatkan di 49 HLS di seluruh negara.
“Bagi suku pertama tahun ini, Kementerian Kesihatan telah melantik secara kontrak seramai 1,114 Pegawai Perubatan gred UD9 untuk menjalani latihan siswazah di 49 HLS seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) berhubung jumlah doktor pelatih diserap pada 2024 dan jangkaan Kementerian Kesihatan pada tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiada doktor pelatih yang didapati meninggalkan kerjaya sebagai pegawai perubatan kerana kecewa dan terpaksa menunggu tempoh yang lama untuk ditempatkan di HLS.
“Dulunya betul, PPS sebelum 2016 diberi gred UD9 itu sebagai penjawatan tetap tetapi selepas itu kita mengambil pendekatan untuk memberikan mereka kontrak.
“Semasa penggal pertama saya iaitu 2019, kita ada lebih 6,300 bagi mereka yang balik sama ada dari tempatan atau luar negara tetapi pada hari ini mereka hanya 3,316. Penurunannya hampir 50 peratus.
“Itu adalah hakikat dan kenyataannya, mereka tidak meninggalkan kerjaya ini lagi sebab perlu menunggu,” katanya.-UTUSAN