KUALA LUMPUR: Pelantikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) adalah hanya secara sementara sehingga terdapat calon baharu dilakukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, berdasarkan Akta ST tiada peruntukan yang menghalang daripada penjawat awam untuk dilantik sebagai anggota.
“Oleh itu, pelantikan Ketua Setiausaha Negara sebagai Pengerusi ST adalah tidak bertentangan dengan perkara 3.3.7 Surat Pekeliling Am Bilangan 5 Tahun 2024.
“Tambahan pula, Ketua Setiausaha Negara selaku ketua kepada semua penjawat awam di Malaysia tidaklah dibebankan malah dapat memudahkan pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan perkembangan ekonomi terutamanya melibatkan pengurusan tenaga negara.
“Pelantikan ini hanya sementara sehingga calon Pengerusi ST baharu dikenal pasti dan dilantik dengan selaras peruntukan Seksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (Akta 610),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang memintanya menyatakan penjelasan berkenaan pelantikan Shamsul Azri sebagai Pengerusi ST.
Sebelum ini, media melaporkan pelantikan itu berkuatkuasa 1 Januari lalu. – UTUSAN