KUALA LUMPUR: Beberapa pindaan akta dan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) bagi menjayakan reformasi institusi dijangka dilaksanakan tahun ini bagi memperkukuh sistem pentadbiran negara.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia membabitkan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, penubuhan Ombudsman Malaysia, penggubalan RUU Pendanaan Politik serta pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Jelasnya, langkah strategik itu bertujuan memperkukuh sistem keadilan jenayah negara sekali gus menaikkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke tangga ke-25 menjelang 2033.
“Pasukan Petugas Khas CPI di bawah pimpinan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, telah menggariskan Pelan Hala Tuju CPI 10 Tahun yang memberi tumpuan kepada akauntabiliti bersama, institusi kukuh dan berkesan serta kolaborasi strategik.
“Salah satu contoh penting dalam usaha ini adalah melalui reformasi yang dilaksanakan di bawah SPRM.
“SPRM memainkan peranan utama dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa, di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, serta integriti dalam sektor awam dan swasta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi).
Selain itu, katanya, penstrukturan sedia ada SPRM selaras dengan prinsip pengasingan kuasa dan keluhuran undang-undang dilihat penting untuk memastikan integriti dan kebebasan SPRM dalam menjalankan siasatan dan pencegahan rasuah tanpa campur tangan luar.
“Kerajaan berpendirian bahawa penstrukturan SPRM perlu dikekalkan untuk memastikan ia berfungsi dengan penuh integriti dan bebas daripada pengaruh yang merosakkan kredibilitinya.
“Penstrukturan ini memastikan ketelusan dan memperkukuh usaha negara dalam memerangi rasuah secara holistik dan berkesan,” katanya. – UTUSAN