KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai sisa elektronik (e-waste) dianggarkan bernilai RM2.86 bilion melalui Op Hazard di seluruh negara pada 15 Februari lalu.
Operasi dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta beberapa agensi lain, telah menggempur 47 premis haram di seluruh negara.
Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, jumlah keseluruhan rampasan membabitkan kira-kira RM2.68 bilion e-waste seberat 22.9 juta kilogram selain 365 fasiliti antaranya mesin memproses, penimbang berat dan sebagainya dianggarkan bernilai RM83 juta.
Katanya, serbuan turut merampas 128 unit kenderaan dianggarkan bernilai RM29 juta dan lain-lain barangan antaranya minyak, plastik, blok memasak dan sebagainya dianggarkan berjumlah RM67.8 juta.
“Dalam serbuan Op Hazard, Briged Utara berjaya merampas pelbagai e-waste dianggarkan bernilai RM1.61 bilion, Briged Tengah (RM701.68 juta), Briged Tenggara (RM401.1 juta), Briged Sarawak (RM76.4 juta) dan Briged Sabah (RM65.1 juta).
“Seramai 246 individu terdiri daripada 218 lelaki, 27 wanita dan seorang kanak-kanak turut ditahan membabitkan 70 warga tempatan, China (56); Myanmar (70), Bangladesh (28), Indonesia (15), Kemboja (4) dan Filipina (3),” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Sepanjang tempoh Januari 2024 hingga 17 Februari 2024, sebanyak RM3.8 bilion e-waste telah dirampas melalui 90 serbuan dengan 538 tangkapan di seluruh negara.
Azmi berkata, Op Hazard dijalankan berikutan peningkatan ancaman yang ditimbulkan oleh e-waste, yang bukan sahaja mengancam keselamatan negara tetapi juga berpotensi menjadi punca jenayah, penyalahgunaan kuasa serta rasuah, malah turut menggugat ketenteraman awam daripada segi kesihatan masyarakat, ekonomi, serta kewujudan pasaran gelap ekoran larangan import dan eksport sisa terbabit.
Katanya, dalam operasi pada 17 Februari lalu, antara kes menarik adalah penemuan lebih 60 tan anak peluru, kelongsong dan sisa amunisi di sebuah kilang di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat di mana dalam serbuan itu, empat individu ditahan, termasuk seorang penyelia dan penjaga premis warga China serta dua pekerja warga Kemboja.
Kes sedang disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Azmi turut memaklumkan pihak polis berjaya membongkar kilang e-waste haram terbesar di Sungai Siput, Perak, yang memiliki keluasan 12 ekar, dengan rampasan dianggarkan bernilai RM1.3 bilion.
Susulan serbuan itu, seorang saintis China berusia 56 tahun ditangkap dan dia dipercayai berperanan dalam mengenal pasti kualiti e-waste yang diproses di kilang tersebut.
Suspek kini direman mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) bermula 16 Februari lalu hingga 1 Mac depan. – UTUSAN