PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bersedia untuk bekerjasama dengan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dalam mendapatkan tenaga kerja tempatan bagi sektor makanan dan minuman itu.
Presiden MTUC, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha untuk mengutamakan pekerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, selaras dengan matlamat memperkukuhkan pasaran buruh negara.
Katanya, MTUC mahu bersama Presma serta pihak kerajaan bagi merangka pelan tindakan yang komprehensif agar lebih ramai pekerja tempatan tertarik menyertai industri ini tanpa menjejaskan hak dan kebajikan mereka.
“Penyelesaian jangka panjang perlu dirangka bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, sekali gus membangunkan tenaga kerja tempatan yang lebih mampan dan berdaya saing dalam sektor makanan dan minuman.
“Membantu pengusaha restoran mendapatkan pekerja tempatan boleh menjadi langkah positif dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
“Ini sejajar dengan usaha meningkatkan taraf hidup pekerja tempatan, mengurangkan kadar pengangguran dan memastikan tenaga kerja negara dimanfaatkan secara optimum,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini pernah melaporkan bahawa rakyat tempatan bukan tidak berminat bekerja di restoran tempatan sebaliknya gaji rendah, waktu kerja panjang dan tidak dilindungi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjadi punca sektor itu dijauhi warga tempatan.
Malah Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, MTUC sepatutnya menjadi pihak tengah yang membantu Presma untuk mendapatkan pekerja tempatan yang mencukupi dan bersedia untuk bekerja dalam industri makanan dan minuman.
Presma juga menyambut baik sekiranya MTUC dapat membantu pemilik restoran mendapatkan pekerja tempatan yang berkemahiran dan berminat dalam bidang ini.
Dalam pada itu, Mohd. Effendy berkata, majikan perlu menawarkan gaji yang lebih kompetitif serta manfaat yang setimpal, seperti KWSP dan Perkeso, bagi memastikan pekerjaan dalam industri ini lebih menarik.
Selain itu, katanya, waktu kerja yang panjang, beban tugas yang tinggi, dan kekurangan faedah pekerjaan yang mencukupi sering menjadi faktor utama pekerja tempatan kurang berminat.-UTUSAN.