PETALING JAYA: Pendatang baharu, Matador tidak boleh lagi melakukan sebarang kesilapan dan mempersiakan peluang sewaktu berdepan Northern Territory Stingers pada Liga Hoki Malaysia TNB 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok.
Pasukan yang turut diperkuatkan pemain import dari Pakistan itu akan beraksi dalam perlawanan terakhir liga menentang kelab Australia tersebut.
Matador pada ketika ini mengumpul sembilan mata daripada tiga kemenangan serta ditimpa lima kekalahan dan menghuni tempat keenam dalam carta MHL.
Kemenangan ke atas Stingers bakal memastikan Matador mara ke suku akhir pada Piala TNB.
Kapten pasukan, Ammad Shakeel Butt dan pakar ‘drag-flick’, Sufyan Khan yang merupakan pemain import dari Pakistan akan kembali memperkuatkan Matador.
Ammad Shakeel yang juga merupakan kapten skuad kebangsaan Pakistan, ditimpa kecederaan di tulang pipi sewaktu beraksi menentang Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada 8 Februari lalu, manakala, Sufyan baru pulih daripada kecederaan belakang.
Ketua jurulatih Matador, A. Yogeswaran berkata, perlawanan menentang Stingers merupakan aksi terakhir Matador dalam saingan liga dan kemenangan amat penting buat skuad bimbingannya.
“Walaupun beberapa pemain utama kami tidak dapat mempamerkan prestasi sebenar sewaktu menentang THT, tetapi, mereka kini sudah kembali menyertai pasukan bagi mempertajamkan bahagian serangan.
“Kekesalan paling besar kami ialah gagal memanfaatkan peluang ketika menentang THT tempoh hari dan kami perlu mendapatkan kembali rentak kemenangan sewaktu bertemu Stingers nanti,” katanya.
Matador yang tidak boleh lagi ditimpa kekalahan, turut berdepan persaingan sengit daripada kelab China, Liaoning, Northern Territory Stingers, Nurinsafi Sporting dan Angkatan Tentera.
Lioning kini mengumpul tujuh mata, masih mempunyai dua baki perlawanan berdepan UiTM-KPT, esok dan Angkatan Tentera pada 15 Februari ini.
Aksi suku akhir Piala TNB akan berlangsung pada 18 Februari, manakala separuh akhir diadakan 20 Februari ini. – UTUSAN