PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mempertimbangkan untuk membuka kembali tajaan pelajar Malaysia dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu dibincangkan dalam kunjungannya ke Pejabat Presiden Universiti Al-Azhar, Prof. Dr. Salamah Abu Daud, bersama pihak pengurusan utama universiti berkenaan.
Katanya, selain bidang pengajian Islam yang sinonim dengan Al-Azhar, perbincangan turut merangkumi usaha membuka kembali peluang bagi penghantaran pelajar Malaysia dalam bidang perubatan, farmasi dan pergigian dengan pengurangan kos yuran pengajian.
“Kami juga telah mengemukakan permohonan agar pihak universiti mempertimbangkan diskaun yuran khusus bagi pelajar tajaan MARA.
“Ini bagi memastikan lebih ramai anak Melayu Bumiputera berpeluang menuntut ilmu di bumi anbiya dalam bidang kritikal ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Asyraf Wajdi berkata, MARA sentiasa komited memastikan akses pendidikan berkualiti di peringkat antarabangsa dapat dinikmati oleh pelajar Malaysia, terutama mereka yang berpotensi tinggi dan memerlukan sokongan kewangan bagi merealisasikan impian mereka.
“Semoga usaha ini membuahkan hasil yang baik demi membina generasi profesional negara berjiwa Ulul-Albab pada masa hadapan,” katanya.
Universiti Al-Azhar merupakan antara institusi pengajian tinggi Islam tertua dan berprestij di dunia yang melahirkan ramai ilmuwan dan profesional dalam pelbagai bidang, termasuk perubatan. – UTUSAN