PETALING JAYA: Malaysia tersingkir awal selepas tewas buat kali kedua berturut-turut dalam saingan Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025 di Pusat Sukan Qingdao Conson, Qiangdao, China, hari ini.
Skuad negara tewas 2-3 kepada Indonesia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan dan gagal mengutip sebarang mata selepas turut kalah 2-3 di tangan Hong Kong dalam perlawanan pembukaan, semalam.
Kegagalan beregu campuran No. 4 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang sepatutnya mengutip mata pertama Malaysia tewas mengejut kepada gandingan pecah ganding, Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva Ramadanti 21-17, 13-21, 18-21 meletakkan skuad kebangsaan di laluan berliku.
Wakil perseorangan negara, K. Letshanaa yang menjadi harapan untuk menyamakan kedudukan turut tumpas di tangan pemain No. 40 dunia, Komang Ayu Cahya Dewi 12-21, 19-21.
Ketinggalan 0-2, pemain No. 28 dunia, Leong Jun Hao menyelamatkan seketika skuad kebangsaan yang berada diambang kekalahan apabila dia berjaya mengetepikan cabaran Yohanes Saut Marcellyno yang menghuni ranking ke-63 Dunia 11-21, 22-20, 21-12.
Ketika jurang mata kembali dirapatkan kepada 1-2, beregu wanita Malaysia yang berada di ranking ke-48 dunia, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dikejutkan pasangan ke-60 dunia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose 21-18, 7-21, 17-21.
Kekalahan 1-3 sudah memadai untuk menghantar skuad kebangsaan pulang awal ke tanah air tanpa perlu menunggu keputusan perlawanan beregu lelaki.
Bagaimanapun, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tetap turun ke gelanggang bagi melengkapkan jadual perlawanan dan demi maruah negara, pasangan No. 12 dunia itu bekerja keras sebelum menang ke atas gandingan ke-16 dunia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 27-25, 21-17, 23-21. – UTUSAN