PETALING JAYA: Malaysia perlu memperbanyakkan dialog antara penganut agama bagi memperkukuh keharmonian dan mengelakkan perbezaan kepercayaan menjadi faktor pemisah dalam masyarakat.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, keharmonian bukan sesuatu yang wujud secara automatik tetapi perlu dibina melalui usaha berterusan.
Katanya, ia termasuk sesi dialog antara agama yang melibatkan pemimpin agama, akademik, pemimpin masyarakat serta golongan muda.
“Dialog yang konstruktif adalah cara terbaik untuk meningkatkan pemahaman dan mengurangkan ketegangan.
“Kita perlu mengadakan lebih banyak forum antara agama di semua peringkat bagi memecahkan tembok prasangka akibat ketidaktahuan,” katanya dalam kenyataan.
Aaron berkata, Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia atau World Interfaith Harmony Week (WIHW) disambut pada minggu pertama Februari setiap tahun selepas diiktiraf oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Oktober 2010.
Katanya, Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian agama dan budaya perlu terus menjadi contoh kepada dunia dalam menguruskan perbezaan dengan matang dan harmoni.
“Kita harus memastikan perbezaan agama tidak menjadi penghalang kepada hubungan baik.
“Sebaliknya, ia boleh menjadi asas untuk membina masyarakat yang lebih memahami antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata, keharmonian tidak boleh hanya bergantung kepada toleransi pasif, tetapi memerlukan komitmen aktif daripada semua pihak untuk membina hubungan kukuh antara komuniti agama.
“Kita tidak boleh mengambil ringan soal perpaduan. Kita perlu faham, hormat dan menerima kepelbagaian agar Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang stabil dan maju,” katanya.
Sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, kementerian akan menganjurkan pelbagai program bagi menyemarakkan semangat keharmonian antara masyarakat.
Katanya, sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip Harmoni Dalam Kepelbagaian, rakyat Malaysia perlu bekerjasama memperkukuh ikatan antara agama, etnik, dan budaya kerana keharmonian tidak wujud secara automatik, sebaliknya memerlukan usaha berterusan daripada semua pihak.
“Masing-masing mempunyai tanggungjawab menjadi ejen perubahan dalam membina Malaysia Madani yang aman, damai dan sejahtera.
“Faham, hormat, terima adalah nilai yang perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat.
“Ia bagi memastikan negara kita terus menjadi contoh kepada dunia tentang bagaimana kepelbagaian agama dan budaya boleh digabungkan untuk mencipta sebuah negara yang benar-benar harmoni,” katanya. – UTUSAN