Malaysia gagal pertahan gelaran Berpasukan Remaja Asia

Malaysia gagal pertahan gelaran Berpasukan Remaja Asia

PASUKAN lelaki dan perempuan Malaysia muncul naib juara pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia 2025 di Hong Kong, hari ini. - Ihsan SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad remaja perempuan Malaysia gagal mengekalkan dominasi buat kali kelima berturut-turut selepas tumbang kepada tuan rumah 0-2 pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia 2025 di Hong Kong, hari ini.

Malaysia merupakan juara sejak empat edisi lalu bermula 2015, 2017, 2019 dan 2023.

Namun, bagi edisi 2025, rata-rata wajah baharu menggalas tanggungjawab dengan Aira Azman dan J. Yasshmita telah melebihi usia, manakala, Whitney Isabelle Wilson tidak disenarai di dalam skuad kali ini.

Anrie Goh yang diletakkan selaku perseorangan pertama tewas kepada wakil Hong Kong, Ena Kwong 3-11, 7-11, 6-11.

Pemain berusia 15 tahun, Harleein Tan yang menjadi pertaruhan Malaysia sebagai perseorangan kedua pula terpaksa akur kepada Cheung Tsz Ching 11-3, 7-11, 8-11, 5-11.

Walaupun, gagal mempertahankan gelaran yang dimenangi dua tahun lalu, Malaysia masih mampu melangkah ke perlawanan akhir.
Sejak edisi pertama lagi iaitu pada 1983, skuad remaja perempuan negara tidak pernah gagal menempatkan diri dalam kedudukan pingat.

Sekurang-kurangnya pingat gangsa mesti berada di dalam genggaman dan edisi 2009 serta 2015 masih kekal menjadi pencapaian terbaik skuad remaja negara apabila merangkul gelaran lelaki dan perempuan.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, kemarau gelaran selama 10 tahun tidak mampu ditamatkan selepas barisan pemain remaja negara tunduk kepada pilihan pertama Korea Selatan 0-2.

Perseorangan pertama, Harith Danial Jefri tewas kepada naib juara remaja dunia, Na Joo Young dalam aksi yang berlanjutan sehingga lima set 6-11, 11-8, 11-9, 7-11, 2-11.

M. Nickhileswar yang turun selepas itu juga ditimpa nasib serupa apabila dia kecundang dalam lima set di tangan Ryu Jeong Uk 11-6, 11-13, 11-5, 9-11, 7-11.

Kali terakhir Malaysia muncul juara ialah pada 2015, tetapi, sekurang-kurangnya mereka memperbaiki pencapaian dua tahun lalu apabila sekadar meraih pingat gangsa.

Untuk edisi 2025, kilauan pingat bertukar kepada perak.

Bagi pilihan pertama Korea Selatan, mereka bukan sekadar memperbaiki pingat gangsa edisi 2023, tetapi melakar sejarah apabila buat kali pertama menjuarai Kejohanan Berpasukan Remaja Asia.

Dominasi sebelum ini hanya daripada tiga buah negara iaitu Pakistan, India dan Malaysia.

Korea Selatan juga memegang status selaku naib juara berpasukan remaja dunia yang dilakar mereka pada tahun lalu selepas tewas kepada Mesir pada perlawanan akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya