PETALING JAYA: Skuad hoki dalam dewan negara menamatkan kempen Piala Dunia 2025 di tangga ke-11 selepas menewaskan Trinidad and Tobago 6-4 dalam aksi penentuan tempat ke-11 dan ke-12 di Pusat Sukan Zatika, Porec, Croatia hari ini.
Pasukan bimbingan Rodzhanizam Mat Radzi itu bagaimanapun terlebih dahulu ketinggalan 2-0 selepas Mickell Pierre dan Darren Cowie masing-masing menjaringkan gol pada minit ketujuh dan ke-10.
Malaysia bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan daripada Muhammad Ashran Hamsani sebelum Abdul Khaliq Hamirin meledak gol ketiga pada minit ke-17.
Lawan kembali di depan apabila Teague Marcano dan Jordan Vieira masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-20 dan ke-21.
Malaysia yang menerapkan corak permainan agresif dari mula meneruskan usaha mereka dan kapten Muhammad Najmi Farizal Jazlan meledak gol keempat pada minit ke-23 sebelum Khaliq menjaringkan gol kedua peribadinya 10 minit kemudian.
Gol terakhir perlawanan dijaringkan oleh Faridzul Afiq Mohd tiga minit sebelum tamat.
“Kami sudah mencapai sasaran pada perlawanan terakhir di mana kami mahu menamatkan saingan di kedudukan ke-11. Bagi saya, ini satu proses pembelajaran yang bagus untuk kami kerana sudah tentu ini kali pertama kami layak ke Piala Dunia.
“Kami ada banyak benda yang dipelajari untuk memperbaiki mutu permainan pada kejohanan seterusnya. Saya berharap kami sepasukan lebih baik dalam edisi Piala Dunia yang seterusnya,” kata Ashran yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. – UTUSAN