KUANTAN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh peniaga makanan wanita yang mayatnya ditemukan di tepi Sungai Kuantan berhampiran jambatan Tanjung Lumpur, pertengahan bulan ini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Zalzul Kamar Abdul Ghani, 53, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Norshamira Zainal, 37, di kawasan jeti Sungai Kuantan, belakang Restoran Golden Empire Palace, Jalan Padang Lalang di sini antara pukul 7.30 malam sehingga pukul 8.30 malam pada 12 Februari lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Tuan Shahrizat Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya Pahang, Deevagaran Nandu Baskaran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 April ini bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan seorang wanita ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati apabila menjadi mangsa pembunuhan kejam ketika melakukan penghantaran barang (COD) di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini.
Mayat Norshamira kemudian dijumpai pada pukul 12.45 tengah hari selepas 17 jam dilaporkan hilang ketika keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang menjadi suspek kes tersebut.
Susulan itu, polis menahan suspek yang lari dan bersembunyi di rumah anak saudaranya di sebuah perumahan di Wakaf Tembusu, Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, motif pembunuhan adalah samun dan suspek lelaki itu turut menggadaikan barang kemas mangsa yang bernilai RM30,000. – UTUSAN