KUALA LUMPUR : Penyanyi, Kris Dayanti, 50, terpinga-pinga apabila dituduh membayangi persembahan Liza Aziz semasa pentas akhir Gegar Vaganza musim ke-11 baru-baru ini.
Menurut Kris, tidak timbul soal menenggelamkan Liza ketika membawakan lagu Cinta sebagaimana yang didakwa warganet sebaliknya dia hanya menuruti aturan asal lagu ciptaan Melly Goeslaw itu.
“Mungkin itu yang buat penonton tidak puas,”katanya.
Mengulas mengenai persembahan vokalnya yang didakwa dilontarkan secara berlebihan, Kris berkata, perkara itu berlaku disebabkan wujud salah faham dari aspek teknikal.
“Sebenarnya, saya meminta Tok Ram menurunkan satu key tetapi beliau menaikkan pula nada itu disebabkan kurang jelas.
“Tetapi sebelum ini pun, setiap kali saya nyanyikan lagu itu bersama Melly, memang kami meminta key diturunkan.
“Jadi pada malam tersebut saya terpaksa mengikut key yang telah ditukar itu sehingga kedengaran vokal saya seolah-olah cuba menenggelamkan kemampuan vokal Liza,”katanya.
Kris berkata demikian semasa ditemui di sidang media Konsert Cinta Nostalgia Kris Dayanti di St Giles Boulevard, di sini, semalam.
Selain itu, meskipun tidak berniat mencetuskan perdebatan itu, Kris bagaimanapun dengan rendah diri dengan warganet yang berkecil hati dengan insiden tersebut.
“Janganlah marah saya… perkara yang berlaku pun disebabkan salah faham. Tiada niat apa pun. Saya sayang semua,”katanya.
Terdahulu, malam kemuncak GV11 yang menyaksikan gandingan duetnya dengan penyanyi dihormatinya itu, Kris didakwa cuba menonjolkan diri berbanding memberi ruang kepada Liza sebagai finalis.
Sementara itu, mengenai konsert yang akan diadakan pada 22 Jun depan di Axiata Arena Bukit Jalil, Kris akan membawakn hampir 30 lagu yang berkisar tentang cinta dan kehidupan sepanjang lebih tiga dekad dalam industri seni.-UTUSAN