PETALING JAYA: Klinik Netball Super League (klinik NSL) anjuran Astro berjaya menarik minat 700 peserta keseluruhan sepanjang empat penganjuran di empat destinasi berbeza pada musim ini.
Sekolah Menengah Pulau Carey, menjadi destinasi terakhir penganjuran klinik NSL dengan penyertaan seramai 300 pelajar.
Tiga lagi destinasi anjuran klinik NSL adalah di Sports Arena@Uniten, Velodrome Iskandar Puteri dan Stadium Juara, Bukit Kiara.
Pemilihan sekolah pada musim ini adalah bagi memberikan pendedahan awal kepada pelajar terutamanya dari pelajar suku kaum Orang Asli Mahmeri, mengenai asas sukan bola jaring.
Pihak Astro turut menyumbangkan tiang gol, bola dan keperluan asas kepada sekolah ini bagi membantu mencetuskan minat serta semangat pelajar untuk terus aktif dalam sukan bola jaring.

Ketua Kakitangan Astro dan Ketua Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Foo Su Lynn berkata, klinik ini menjadi nilai tambah kepada penganjuran kejohanan NSL tahun ini.
“Klinik NSL adalah satu nilai tambah yang penting kepada kejohanan NSL, yang kini memasuki edisi keempat musim ini.
“Kami percaya bahawa sukan adalah platform penting dalam membentuk sahsiah dan memperkasa generasi muda.
“Melalui Klinik NSL ini, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, untuk mengenali serta menyemai minat mereka dalam sukan bola jaring.
“Astro Kasih ESG berbangga dapat bekerjasama dengan pasukan Astro Sports dalam memperkukuh inisiatif ini, yang bukan sahaja menyokong pembangunan bakat di peringkat akar umbi tetapi juga memperkasa komuniti melalui sukan,”katanya.
Foo Su Lynn turut percaya bahawa pengalaman yang diperolehi menerusi klinik NSL bakal menjadi motivasi kepada peserta-peserta untuk menceburi sukan bola jaring pada masa akan datang.
“Kami percaya bahawa pengalaman yang diperoleh di Klinik NSL dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk terus bersemangat, berusaha, dan mengasah potensi diri dengan bimbingan jurulatih kebangsaan yang berpengalaman.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memberi impak positif kepada masyarakat melalui ESG dan sukan,”katanya.
Jelasnya lagi, Astro turut berbesar hati dengan dengan kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sentiasa memberi sokongan kepada klinik anjuran Astro termasuk Astro Kem Badminton (AKB) dan Klinik Sepak Takraw League (Klinik STL) yang diadakan pada musim lalu.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Klinik NSL dan Jurulatih Bola Jaring Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Husna Hussin Ali, menyifatkan program ini sebagai satu permulaan yang baik, dengan sambutan yang amat menggalakkan.
“Melihat peserta memanfaatkan cuti sekolah mereka dengan aktiviti yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberi ilmu dan kemahiran bola jaring adalah sesuatu yang sangat positif.
“Sepanjang Klinik NSL ini, saya dapat melihat potensi besar dalam kalangan peserta. Sebagai jurulatih, kami sangat terinspirasi dengan semangat dan kesungguhan para peserta.
“Harapan kami adalah agar pengalaman ini menjadi langkah pertama untuk mereka mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam sukan bola jaring. Siapa tahu, mungkin sebahagian daripada mereka bakal menjadi bintang NSL atau mewakili negara suatu hari nanti,”katanya.
NSL telah melabuhkan tirainya pada Ahad lalu menyaksikan pasukan KL Wildcats dinobatkan sebagai juara, naib juara Putrajaya Dynamites dan Johor Jewels di tempat ketiga pada edisi musim ini.-UTUSAN