Kes Zayn Rayyan: Saksi nafi diugut polis

Kes Zayn Rayyan: Saksi nafi diugut polis

ZAIM Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saksi pendakwaan ke-10 menafikan bahawa dia diugut pihak polis semasa siasatan kes melibatkan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Malah Pembantu Pengurus Murid di prasekolah pendidikan khas, Nasimah Abu Bakar, 33, beranggapan bahawa dipanggil lebih daripada lima kali oleh pihak polis untuk memberi keterangan adalah sebahagian daripada prosedur siasatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz: Berkenaan percakapan polis ambil lebih lima kali, bila dicadangkan peguam ada ugutan atau tidak, kamu nyatakan saya tak rasa diugut.
Nasimah: Kerana saya beranggapan itu adalah prosesur untuk ambil keterangan daripada pihak terlibat.

Aqharie Durranie: Kemudiannya, bila dicadangkan, polis cuba kenakan mereka (ibu bapa Zayn) kamu kata tak betul, terangkan kenapa?
Nasimah: Saya rasa ini sebahagian daripada siasatan.

Saksi itu berkata demikian semasa memberi keterangan pada hari kelima prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian yang dihadapi ibu dan bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

Terdahulu, saksi itu tidak bersetuju dengan peguam bela, Haresh Mahadevan yang mencadangkan bahawa polis melakukan ugutan terhadapnya bagi ‘mengenakan’ ibu dan bapa Zayn Rayyan.

Peguam terbabit kemudian merujuk saksi itu kepada tujuh tangkap layar memaparkan perbualan antara Nasimah dan datuk saudara Zayn Rayyan yang dikenali sebagai Zikril Azim di aplikasi TikTok.

Haresh: (membaca tangkap layar perbualan) “Masa polis Bukit Aman datang cari saya (Nasimah), mereka macam nak suruh saya (Nasimah) cakap mak dia (Ismanira) buat. Dia (polis) macam psiko juga. Mereka (polis) tak boleh terima kalau saya kata mak Zayn baik.” Adakah ini ugutan pihak polis semasa siasatan?
Nasimah: Saya tak rasa ia ugutan.

Haresh: Ada atau tidak, polis meminta kamu bercakap sebegini?
Nasimah: Ya, betul.

Haresh: Tetapi anda adalah seorang yang jujur, betul?
Nasimah: Betul.

Haresh: Anda tidak ingin beri keterangan palsu kepada polis?
Nasimah: Betul.

Haresh: Itu sebab polis cuba lebih panggil anda lebih lima kali dengan berharap anda tukar keterangan dan kenakan Ismanira serta Zaim tetapi anda masih jujur?
Nasimah: Betul.

Pada prosiding hari ini juga, Nasimah memaklumkan, Ismanira pernah memberitahunya bahawa Zayn Rayyan pernah hilang di Taman Metropolitan, Kepong.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ismanira sehari selepas kehilangan Zayn Rayyan (6 Disember 2023) ketika dia menghubungi wanita itu.

Nasimah juga memberitahu dia mendapat berita kehilangan Zayn Rayyan melalui kumpulan WhatsApp sekolah dan susulan daripada itu, dia menghubungi Ismanira untuk mengesahkan perkara tersebut pada hari kejadian.

“Antara pukul 4 petang hingga 4.30 petang, saya dimaklumkan Zayn Rayyan telah hilang. Saya kemudiannya menghubungi ibunya (Ismanira) untuk mendapatkan kepastian sama ada betul atau tidak Zayn hilang dan ibunya menjawab, Ya betul, Zayn hilang,” katanya.

Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung semula 17 Februari hadapan.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.

Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya