KDA FC nafi beraksi di Liga A1 Semi Pro

KDA FC nafi beraksi di Liga A1 Semi Pro

TAN Sri Dr Mohd Daud Bakar. - IHSAN FACEBOOK KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menegaskan bahawa pasukan itu tidak akan beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim depan meskipun berdepan cabaran kewangan.

Pemilik kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menafikan laporan yang mendakwa pasukan Hijau Kuning bakal tersingkir ke liga bawahan, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak tepat dan boleh menjejaskan semangat pasukan.

“Terdapat laporan yang mengatakan tiga pasukan akan turun liga dan gambar Kedah turut disertakan. Ini sesuatu yang tidak adil kerana ia boleh menjejaskan moral pemain, pegawai dan juga penaja.

“Saya percaya laporan ini tidak sahih dan tidak kukuh. Oleh itu, tidak perlulah disebarkan perkara yang boleh melemahkan semangat bola sepak kita,” katanya pada majlis pengumuman rakan strategik dan pelantikan duta KDA FC.

Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa KDA FC mungkin gagal mendapatkan lesen kelab bagi musim baharu ekoran isu tunggakan gaji yang sedang dihadapi. Bagaimanapun, kelab itu tetap optimis untuk menyelesaikan perkara berkenaan bagi memastikan pasukan terus bersaing di peringkat tertinggi.

Dalam majlis sama, penyanyi terkenal tanah air, Black Hanifah atau nama sebenarnya Mohd Hanifah Md Hanafiah diumum sebagai duta kelab.

Beberapa pempengaruh media sosial turut dilantik bagi membantu memperkukuhkan jenama KDA FC dan menjana pendapatan kelab.

Kelab bola sepak utara tanah air itu kekal komited untuk membina pasukan yang kompetitif dalam saingan Liga Super musim depan, sambil menyeru penyokong setia untuk terus berdiri teguh di belakang pasukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya