ALOR SETAR: Skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC akan mempertaruhkan segala yang mereka miliki untuk berdepan PDRM FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Darul Aman, malam ini.
Ketua Jurulatih Sementara KDA FC, Victor Andrag berkata sembilan pemain bawah 23 tahun telah dipanggil menjalani latihan bersama skuad utama setelah Sang Kenari berdepan isu kecederaan selain tindakan beberapa pemain yang berhijrah.
“Setakat ini beberapa pemain utama termasuk Syafiq Ahmad, Fayadh Zulkifli dan Halim Shaari masih mengalami kecederaan dan dijangka tidak dapat memulakan aksi sebagai kesebelasan utama.
“Maka kami sudah memanggil sembilan pemain bawah 23 tahun bagi mengisi kekosongan ditinggalkan. Begitu pun, kami tetap akan melakukan yang terbaik kerana pemain-pemain ini sentiasa mahu membuktikan sesuatu apabila diberi peluang menjalani latihan dan beraksi,” katanya.
Katanya, ketika ini mereka tahu akan kekuatan yang ada pada pasukan sendiri dan masih memiliki keyakinan untuk melakukan yang terbaik.
Justeru katanya, dia yakin anak-anak buahnya akan menunjukkan karakter yang betul bagi membolehkan mereka layak ke final Piala Cabaran.
“Kita sudah sampai ke separuh akhir dan sentiasa mengharapkan yang terbaik. Saya harap kita dapat mengambil peluang ini untuk setidak-tidaknya, dapat mencapai sesuatu pada tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu katanya, dia turut sentiasa mengingatkan pemain agar tidak terleka di awal permainan, hingga membolehkan pasukan lawan mendahului seperti yang berlaku dalam aksi separuh akhir pertama.
“Dalam perlawanan sebelum ini, kita ketinggalan 2-0 sebelum bangkit untuk mencatat keputusan seri 3-3. Memanglah kita berupaya menunjukkan kebangkitan dalam perlawanan tersebut tetapi itu bukan perkara mudah untuk dilakukan.
“Seperti mana saya katakan tadi, saya harap kalangan pemain dapat mengambil peluang ini untuk mara ke peringkat seterusnya. Sekarang adalah masanya untuk kita mencapai sesuatu pada tahun ini,” katanya.-UTUSAN