Jho Low dakwa baik dengan Najib

Jho Low dakwa baik dengan Najib

1MDB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Adinda kepada Sultan Terengganu, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Jho Low pernah memberitahunya bahawa ahli perniagaan dalam buruan mempunyai hubungan baik dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud Al Mukhtafi Billah Shah, 59, yang juga merupakan saksi pembelaan keenam berkata demikian ketika hadir memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib.

“Seingat saya, pada pertemuan kali pertama dengan Jho Low, (dia tak sebut ada hubungan baik dengan Najib). Selepas itu, mungkin pada pertemuan kedua atau berikutnya, dia (Jho Low) ada sebut (ada hubungan baik dengan Najib),”katanya ketika soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Terdahulu, adinda Sultan Mizan yang juga bekas Pengarah Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) itu memberitahu, beliau diperkenalkan kepada Jho Low oleh Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree, iaitu menantu kepada bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.

Pertemuan kali pertama itu berlaku di pejabat Jho Low yang terletak di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) yang disifatkan sebagai `satu pejabat yang mengagumkan’.

Menurut penyataan saksinya, Tengku Rahimah memberitahu beliau sangat kagum dengan sikap tenang dan kecerdasan Jho Low di samping kepetahannya bercakap ketika membentangkan visi serta idea.

Tambahnya, sikap Jho Low yang tidak mendesak menjadikan pembentangannya sangat meyakinkan. 

Katanya, walaupun begitu, Jho Low bukan seorang yang mendesak, oleh itu pendekatannya lebih berkesan dan menarik.

Selain itu, Tengku Rahimah memberitahu idea untuk menaikkan ekonomi negeri Terengganu adalah buah fikiran kekandanya, Sultan Mizan namun cadangan pembentukan TIA datang daripada Jho Low.

Sementara itu, Tengku Rahimah bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa Najib sudah mengetahui mengenai penubuhan TIA sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan membincangkan mengenai perkara itu pada 12 Disember 2008.

Tengku Rahimah berkata, pada satu majlis makan malam di Istana Terengganu di sini, beliau ada mendengar Najib bercakap dengan Sultan Mizan yang ketika itu Yang di-Pertuan Agong bercakap mengenai penubuhan TIA.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak pasti sama ada Jho Low ada pada makan malam terbabit.

Ahmad Akram: Boleh gambarkan siapa timbulkan idea (penubuhan TIA) ketika pertemuan makan malam itu? 

Tengku Rahimah: Seingat saya, Sultan Mizan.

Ahmad Akram: Adakah Datuk Seri Najib ketika itu, ada atau tidak beliau menerangkan mengenai penubuhan tersebut secara makro? 

Tengku Rahimah: Ya.

Ahmad Akram: Setuju atau tidak sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri, Datuk Seri Najib sudah tahu mengenai idea penubuhan TIA itu? 

Tengku Rahimah: Ya.

TIA ditubuhkan pada 27 Februari 2009 sebelum ditukar kepada 1MDB pada 25 September 2009 selepas diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN