MELAKA: Jejantas Melaka Sentral yang kini dikenali sebagai Jejantas Tun Teja bakal menjadi ikon pelancongan baharu kepada pengunjung dan pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperuntukkan sebanyak RM7.9 juta bagi menaik taraf jejantas dengan berkonsepkan seni budaya istana Melaka tersebut.
Beliau berkata, jjejatas itu dijenamakan semula sebagai Jejantas Tun Teja sebagai penghormatan kepada seorang tokoh yang amat disanjungi dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka.
“Jejantas ini bukan sekadar sebuah struktur fizikal tetapi juga manifestasi penghargaan terhadap warisan budaya Melayu yang amat bernilai, serta memastikan masyarakat sentiasa mengingati dan menghargai sejarah serta warisan bangsa.
“Uniknya jejantas ini dilengkapi teknologi moden dihiasi sebanyak 4,700 lampu LED dengan konsep mengesan gerakan agar lampu ini akan dicahayakan mengikut pergerakan manusia yang melintas jejantas ini.
“Warna-warni yang menghiasi jejantas ini juga diinspirasikan daripada bendera Melaka yang menggunakan warna merah, biru kuning dan putih,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jejantas Tun Teja di pekarangan parkir Melaka Sentral, di sini, malam semalam.
Yang hadir sama Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.
Ab. Rauf berkata, kerja-kerja menaik taraf Jejantas Melaka Sentral sepanjang 500 meter itu telah bermula sejak Mac 2024, dengan memberikan nafas baharu melalui penggunaan teknologi pencahayaan dan elemen interaktif berkualiti tinggi.
Menurutnya, sebanyak enam buah kiosk telah disediakan bagi memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk memulakan perniagaan di atas jejantas itu.
“Saya yakin pembangunan ini mampu menggamit lebih ramai pelancong domestik mahupun antarabangsa.
“Ia sekali gus menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih positif dan limpahan manfaat terhadap usahawan kecil dan sederhana serta komuniti setempat,” ujarnya. – UTUSAN