KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus melakukan pemantauan dari masa ke masa untuk melihat perkembangan terkini situasi banjir buruk yang sedang melanda Miri dan Bintulu di Sarawak ketika ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, perkembangan terkini itu diperoleh secara langsung dari lokasi kejadian yang disalurkan melalui Pusat Gerakan Operasi Kebangsaan di Putrajaya.
“Pusat gerakan itu beroperasi selama 24 jam setiap hari, melalui sistem C4i (Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer dan Perisikan) yang baharu di pusat itu, kita boleh menerima laporan mengenai bencana alam di Sabah dan Sarawak sepanjang masa.
“Ia membolehkan kita memantau setiap pergerakan anggota JBPM di sana dari masa ke semasa dan menyampaikan arahan-arahan tertentu,” katanya pada sidang akhbar semasa lawatan kerja rasmi ke JBPM Kelantan di Tunjung, di sini hari ini.
Ahmad Izram memberitahu, JBPM merupakan agensi terawal menerima maklumat terkini termasuk kejadian tanah runtuh di Miri dan hujan lebat di Bintulu.
Katanya, setiap maklumat yang diperoleh akan memudahkan bantuan disampaikan terus kepada mangsa-mangsa terlibat.
“Kami (JBPM) sentiasa mendapat kerjasama baik serta maklumat daripada lain-lain agensi termasuk NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan METMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia),” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Izram berkata, aset-aset logistik termasuk lori, bot, kelengkapan pemindahan mangsa banjir dan Peranti Pengapungan Peribadi (FDP) yang digerakkan dari Pantai Barat di jangka akan dikekalkan di Kelantan sehingga Mac nanti.
“Kita kekalkan aset-aset termasuk yang digerakkan dari Akademi Bomba di Wakaf Tapai (Terengganu), Kuala Kubu Bharu (Selangor) dan Kuala Lumpur di Kelantan sebagai langkah bersiap siaga sekiranya masih ada luruan-luruan akan datang yang bakal memberi kesan kepada negeri ini.
“Pada masa sama kita telah memulakan proses-proses perolehan aset baharu JBPM sejak awal tahun ini dan berhasrat untuk memperoleh kesemuanya seawal mungkin supaya dapat diguna pakai dalam tugas-tugas penyelamatan sekiranya berlaku musibah penghujung tahun,” ujarnya.
Tambahnya, kebanyakan aset-aset yang sedang diusahakan perolehannya merupakan aset logistik untuk operasi penyelamatan kebakaran atau melibatkan banjir, tanah runtuh, kebakaran hutan dan lain-lain.-UTUSAN