KUALA PILAH: Lebih 500 penduduk Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur di sini, merayu orang ramai agar tidak memandang serong terhadap mereka berikutan kes kusta yang berlaku, kerana ia hanyalah kes terpencil dan tidak dikategorikan sebagai wabak oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Chergun, Sisah Jantan, 50, berkata, berikutan berita yang tersebar kelmarin, mereka berhadapan dengan persepsi negatif serta tidak dilayan ketika ke kedai mahupun premis di luar kampung.
“Kami ikut arahan KKM, semua penduduk menjalani saringan dan mereka yang terkesan dengan kusta diberikan rawatan. Penduduk yang terkesan sakit (kusta) dibekalkan ubat untuk dimakan dalam tempoh setahun manakala yang tidak sakit diberi ubat (antibiotik).
“Aktiviti kampung berjalan seperti biasa dan setakat ini, kira-kira 160 penduduk bebas untuk buat aktiviti, anak-anak pun sudah ke sekolah,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, satu kes kematian akibat kusta dilaporkan membabitkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di Kampung Orang Asli Chergun manakala sembilan lagi disahkan mengidap penyakit itu.
Dalam pada itu, Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tiada sebarang aktiviti keluar masuk dibenarkan membabitkan dua perkampungan itu buat sementara waktu.
Katanya, tindakan kerajaan negeri ketika ini adalah untuk memastikan supaya tidak merebak, walaupun ia adalah kes terpencil.
“Maknanya bukan satu perkara yang boleh mendatangkan panik tetapi saya bagi pihak kerajaan negeri tidak mahu kes ataupun wabak ini merebak tanpa mendapat kawalan dan tindakan,” katanya.- UTUSAN