PETALING JAYA: Pemimpin pembangkang diingatkan agar menjadi barisan pemantau yang mampu mengkritik segala dasar kerajaan berlandaskan fakta.
Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, pembangkang tidak perlu bermain dengan sentimen, retorik atau dimensi yang kurang tepat sehingga menimbulkan persepsi mengenai sesuatu kenyataan.
“Bukan bermakna kerajaan tidak mahu kritikan tetapi pembangkang perlu jadi pemantau dan bukan boneka.
“Pandangan dan kritikan membina sentiasa dialu-alukan sebab apabila rakyat dikelirukan dengan sentimen etnik dan agama yang diapi-apikan, ia akan menjejaskan proses pemulihan dan kestabilan negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan, keamanan negara perlu dipertahankan dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak.
Anwar berkata, rakyat tidak boleh membiarkan mana-mana pihak cuba mengganggu keamanan negara kerana kestabilan dan keharmonian adalah kunci kepada kemajuan negara.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, peringatan Perdana Menteri itu penting bagi membolehkan ekonomi negara dipacu dan politik kekal stabil.
Katanya, apa juga perbezaan boleh diraikan dengan pendekatan rasional dan penuh kewarasan supaya tiada pihak luar mengambil kesempatan di peringkat serantau mahupun global.
“Ada tiga nilai besar daripada ucapan Anwar iaitu faham, hormat dan terima dalam kerangka politik
dan pertumbuhan ekonomi. Peringatan itu datang tepat pada masanya kerana ada isu yang sengaja dipolitikkan walaupun boleh duduk berbincang dan bermusyawarah.
“Dalam zaman pendigitalan dan dunia alam maya, setiap kenyataan boleh mempengaruhi masyarakat,” jelasnya.