PETALING JAYA: Selangor perlu memberi segalanya menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran berdepan Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini jika berhasrat layak ke final.
Kapten Gergasi Merah, Safuwan Baharudin menyeru rakan sepasukan untuk tidak melepaskan peluang menamatkan musim ini dengan satu kejuaraan dan berharap Selangor mampu mara ke final dan bergelar juara.
Katanya, walaupun bekalan satu gol dilihat bukan kelebihan yang besar buat Selangor namun Safuwan optimis mereka mampu menjinakkan skuad Harimau Kumbang bukan kali kedua terutama beraksi di depan penyokong sendiri.
“Harapan saya sememangnya begitu besar untuk ke perlawanan akhir. Ini adalah satu piala yang tinggal untuk kami dan secara realistiknya, ini peluang terbaik kami untuk melangkah ke final.
“Meskipun orang luar memperkatakan Piala Cabaran MFL ini berbeza dengan Piala Malaysia, namun bagi saya, kita tetap akan pastikan yang kami dapat membuktikan sesuatu kemenangan,” kata Safuwan.
Pada separuh akhir pertama, Selangor bergelut untuk menewaskan Penang FC di laman lawan apabila mencatat kemenangan 1-0 menerusi jaringan sendiri pertahanan lawan, Rafael Vitor.
Sementara, Pengendali Harimau Kumbang, Wan Rohaimi Wan Ismail bersedia menerapkan aksi menyerang dan cuba mendapatkan jaringan awal bagi menghidupkan peluang ke pentas final.
“Untuk kita bermain dengan cara bermain bertahan, saya rasa tidak sesuai. Sebab kita ketinggalan 0-1. Jadi kita kena menekan dari awal untuk sekurang-kurangnya kita dapat memadam kelebihan (Selangor FC) dari awal. Itu adalah rancangan kita,” katanya.
Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan adalah ketika saingan Liga Super pada 25 Januari lalu dengan menyaksikan mereka terikat 1-1 ketika beraksi di Stadium Bandaraya.-UTUSAN