LIVERPOOL: Bruno Fernandes menjadi watak utama kebangkitan Manchester United apabila membantu pasukannya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 2-2 menentang Everton di Goodison Park, sebentar tadi.
United hampir mengalami kekalahan kesembilan dalam 13 perlawanan liga selepas jaringan Beto dan Abdoulaye Doucoure meletakkan Everton di depan dalam tempoh 33 minit pertama perlawanan.
Skuad pelawat bergelut mencari jaringan sehingga sepakan percuma Fernandes pada minit ke-72 merapatkan kedudukan sebelum Manuel Ugarte memastikan satu mata buat United dengan gol penyamaan.
Ketegangan memuncak di penghujung perlawanan apabila Everton diberikan sepakan penalti pada masa kecederaan, namun keputusan itu dibatalkan selepas pengadil Andy Madley meneliti rakaman VAR.
Keputusan seri itu menyaksikan Everton naik ke tangga ke-12 liga sementara United kekal di kedudukan ke-15 selepas gagal meraih kemenangan.
Skuad bimbingan David Moyes yang kembali membimbing Everton bulan lalu terus menunjukkan peningkatan dengan mengutip 14 daripada 18 mata maksimum dalam enam perlawanan terakhir.
Momentum cemerlang itu memberikan keyakinan kepada The Toffees untuk mengekalkan status mereka dalam saingan liga utama buat tahun ke-71 berturut-turut.
United pula terus bergelut di bawah kendalian Ruben Amorim dan perlu mencari penyelesaian segera bagi mengelak kemerosotan lebih teruk. – AGENSI