PETALING JAYA: Buat pertama kali dalam sejarah bola sepak tanah air, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan drastik dengan memecat pengadil, Fitri Maskon berikutan prestasi lemah yang memberi impak besar kepada keputusan perlawanan.
Keputusan itu diumumkan Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram selepas mendapati pengadil, Fitri Maskon, gagal menjalankan tugas dengan cemerlang dalam aksi Piala MFL 2024-2025 yang menemukan Negeri Sembilan FC dan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Khamis lalu.
“Laporan Penilai Pengadil mendapati Fitri telah membuat beberapa keputusan yang lemah, termasuk memberikan sepakan penalti yang meragukan dan menambah masa sehingga 15 minit yang dianggap keterlaluan.
“Tindakan itu telah memberi kesan langsung kepada keputusan perlawanan dan perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Menurut Datuk Sivasundaram, selepas perbincangan mendalam dengan kepimpinan tertinggi FAM, keputusan diambil untuk memecat Fitri daripada semua tugasan pengadilan sebagai satu bentuk tindakan tegas.
“Sebelum ini, pengadil yang melakukan kesilapan hanya dikenakan penggantungan tugas, namun kali ini, kami mengambil langkah lebih keras demi memastikan mutu pengadilan berada pada tahap terbaik.
“Keputusan ini juga sebagai peringatan kepada semua pengadil supaya lebih teliti dan serius dalam menjalankan tugas,” tegas beliau.
Keputusan bersejarah ini dijangka memberi impak besar kepada landskap pengadilan bola sepak negara, sekaligus meningkatkan integriti dan profesionalisme dalam kalangan pengadil tempatan. – UTUSAN