PETALING JAYA: Muka baharu yang menganggotai saf kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bekerja keras membawa badan induk itu ke arah lebih baik berbanding tampuk pemerintahan terdahulu.
Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung semalam menyaksikan tiada sebarang elemen kejutan berlaku apabila pemenang bagi dua jawatan tertinggi sudah diketahui lebih awal.
Mohd. Joehari Mohd. Ayub diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden selepas menjadi calon tunggal untuk jawatan No.1, sekali gus mengisi tempat yang ditinggalkan Tan Sri Hamidin Mohd. Amin.
Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram turut diumumkan menang tanpa bertanding bagi mempertahankan jawatan masing-masing untuk kesekian kalinya.
Yang menarik perhatian adalah perebutan empat jawatan Naib Presiden yang menyaksikan Datuk Dollah Salleh, Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan N. Saaran menjadi pilihan.
Dengan lengkapnya barisan baharu badan induk itu, tugas berat menanti Mohd. Joehari untuk membentuk ‘pasukan’ terbaik membawa bola sepak Malaysia ke arah yang lebih baik khususnya dalam pembangunan dan perjalanan liga.
Ini bermakna, muka baharu ini tidak boleh ‘goyang kaki’ dan menyambung legasi yang ditinggalkan Hamidin semata-mata, erti kata lain mereka ‘wajib’ ada pencapaian sendiri yang boleh dibanggakan.-UTUSAN