KUALA LUMPUR: Jaringan tunggal Faizal Saari memastikan Terengganu Hockey Team (THT) mara ke final Piala TNB 2025 selepas menewaskan Matador 1-0 di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, hari ini.
Kemenangan itu mengukuhkan peluang THT untuk merangkul gelaran treble Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 selepas menjulang Piala Sumbangsih dan muncul juara liga.
Aksi separuh akhir berlangsung sengit dalam cuaca panas dengan kedua-dua pasukan saling mengasak namun gagal memecahkan kebuntuan sepanjang babak pertama.
Faizal muncul wira apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-40 bagi menghadiahkan kemenangan berharga buat pasukannya.
Penyerang berusia 34 tahun itu kini mendahului senarai penjaring terbanyak MHL 2025 dengan 23 gol dan berazam membantu THT mencipta sejarah.
“Kami mahu menang semua perlawanan musim ini dan menjadikannya lebih bermakna buat pasukan,” kata Faizal kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.
THT bakal berdepan juara bertahan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang menewaskan Maybank 7-4 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Final yang dijadualkan Sabtu ini dijangka sengit dengan THT bertekad menebus kekalahan musim lalu kepada TNB yang merangkul treble 2024.