Dua beranak maut, seorang parah kemalangan pulang dari kedai - Utusan Malaysia

Dua beranak maut, seorang parah kemalangan pulang dari kedai

KEADAAN motosikal yang terlibat kemalangan meragut nyawa dua beranak dan seorang parah dalam kemalangan di Kilometer 13 Jalan Gaung--Kuala Ping- Teris di Kampung Kepah, Hulu Terengganu. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Dua beranak maut manakala seorang lagi cedera parah setelah motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 13 Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris di Kampung Kepah, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira pukul 11.55 pagi itu ialah Nursaidatul Aishah Zakari, 36, dan anak sulungnya, Wan Nur Izara Aina Tun Mohd. Khairul,12, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Tengkawang, di sini.

Seorang lagi anak Nursaidatul Aishah iaitu Tun Nur Ufaira Afifa, 9, dibawa ke Hospital Hulu Terengganu setelah patah tangan dan kaki serta mengalami kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Axia dinaiki lima penuntut lelaki sebuah institusi pengajian yang kesemuanya berusia 19 tahun hilang kawalan semasa melalui satu selekoh.

“Kereta tersebut menuju ke arah Kuala Berang dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar Yamaha Ego Solaris dinaiki seorang wanita bersama dua anaknya.

“Tiga beranak tersebut dalam perjalanan pulang dari kedai di Kampung Kepah menghala ke Kampung Tengkawang. Wanita berkenaan bersama anak perempuan yang berusia 12 tahun meninggal dunia di tempat kejadian setelah kedua-duanya mengalami kecederaan di bahagian kepada.

“Seorang lagi anaknya parah dan dibawa ke hospital manakala salah seorang penumpang kereta cedera pada tangan kiri,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya