PETALING JAYA: Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh sedia untuk mencurahkan segala kepakarannya untuk meningkatkan kualiti bola sepak Malaysia selepas dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pada Kongres Pemilihan Penggal 2025-2029 itu, Dollah berjaya mendapatkan satu daripada empat kerusi naib presiden dengan meraih 17 undi daripada 18 ahli gabungan yang hadir pada pemilihan berkenaan.
Dollah yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan mengakui amanah yang diberikan sangat berat, tetapi menganggap itu adalah peluang untuk mencurahkan bakti kepada badan induk bola sepak negara.
“Sebelum ini ramai yang cakap saya ‘confirm’ menang. Namun, saya risau juga sepanjang kongres pemilihan tetapi bila sudah terpilih, sudah tentu saya mahu memberikan segala pengalaman yang ada.
“Mengenai tugas (portfolio) yang bakal diberikan, kita tunggu pada mesyuarat nanti. InsyaAllah, kita akan beri idea bukan untuk membuat pembaharuan, tetapi meningkatkan lagi kualiti bola sepak negara,” katanya.
Sementara itu, bekas penyerang skuad kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan turut melakar kemenangan selepas meraih majoriti mudah dengan 18 undian untuk menjawat tugas Exco baharu FAM.
“Ini adalah kepercayaan yang sangat tinggi dan saya ucapkan terima kasih kepada semua ahli gabungan khususnya persatuan yang mengundi saya.
“Secara jujur, saya tidak sangka boleh mencapai ke tahap ini (diserap menjadi Exco) tetapi saya dan Dollah sudah berazam untuk membantu daripada aspek teknikal nanti,” katanya.-UTUSAN