Dokumen projek RM4 juta sudah diserahkan ke SPRM - Datuk Bandar KL - Utusan Malaysia

Dokumen projek RM4 juta sudah diserahkan ke SPRM – Datuk Bandar KL

MAIMUNAH MOHD SHARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menyerahkan dokumen dan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif berkata, maklumat  dan dokumen yang diperlukan sudah diberikan kepada SPRM untuk dianalisis.

“Mereka (SPRM) datang ke pejabat DBKL semalam dan kami sedia memberi kerjasama dalam isu ini. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk kita rumuskan perkara ini, “ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Media hari ini melaporkan DBKL akan berkongsi dokumen berkaitan penganugerahan projek bernilai RM4 juta yang sedang disiasat SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan pasukannya membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.

“Saya sudah berbincang dengan Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif semalam dan beliau bersetuju untuk berkongsi dokumen mengenai isu ini dengan kami.

“Apa pun, biarkan penyiasat saya menganalisis dokumen-dokumen berkenaan untuk melihat sama ada terdapat sebarang kesalahan yang mewajarkan kami membuka kertas siasatan,” katanya.

Sebelum ini, dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial sejak minggu lalu.

Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.

Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat berkenaan dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya