Diaz tamatkan badi, Liverpool kukuh di puncak

Diaz tamatkan badi, Liverpool kukuh di puncak

MOHAMED Salah memberi reaksi ketika golnya dibatalkan kerana ofsaid semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Liverpool dan Wolverhampton Wanderers di Anfield, Liverpool, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Luis Diaz akhirnya menamatkan kemarau golnya untuk membantu Liverpool mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Wolves di Anfield, awal pagi tadi.

Jaringan pertama Diaz pada tahun 2025 itu menjadi pemangkin kepada kebangkitan The Reds, sebelum Mohamed Salah terus membuktikan sentuhannya berbisa dengan gol ke-28 musim ini menerusi sepakan penalti.

Dalam aksi menentang Wolves, Diaz membuka jaringan seawal minit ke-15 selepas menerima umpanan Salah yang terkena pertahanan lawan sebelum dia menyudahkan peluang dalam situasi kelam-kabut di hadapan gawang.

Liverpool kemudian menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti Salah pada minit ke-37 selepas Diaz dijatuhkan oleh penjaga gol Wolves, Jose Sa, sekali gus memberi kelegaan kepada penyokong setia The Kop.

Gol Matheus Cunha pada babak kedua sedikit mencemaskan Liverpool, namun mereka tetap utuh bertahan untuk memastikan tiga mata berharga, sekali gus terus mengorak langkah sebagai calon utama juara liga musim ini.

Kemenangan itu hadir selepas Liverpool mengalami minggu yang mengecewakan, termasuk tersingkir memalukan di pusingan keempat Piala FA kepada Plymouth serta terikat 2-2 dalam aksi tegang Merseyside Derby menentang Everton.

Arsenal yang menang 2-0 ke atas Leicester sebelum ini memberi tekanan kepada Liverpool, namun skuad bimbingan Arne Slot membuktikan mereka tidak mudah goyah dalam pemburuan gelaran liga ke-20.

Liverpool hanya memerlukan tiga kemenangan berturut-turut dalam tempoh 10 hari menentang Aston Villa, Manchester City dan Newcastle untuk semakin hampir menjulang trofi liga pertama sejak 2020. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya