KEMAMAN: Seorang ‘bomoh’ muda menangis teresak-esak di kandang tertuduh ketika didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, akhir Januari lalu.
Muhammad Adiq Alqbab Zanuddin, 20, yang dilihat beberapa kali mengesat air matanya, mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh alat sulit kanak-kanak tersebut bagi maksud seksual. Kesalahan itu dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual kontak fizikal tanpa persetubuhan bagi maksud seksual terhadap mangsa. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) AKKSTKK yang juga boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan tertuduh ke atas mangsa yang sama, kira-kira pukul 1 pagi, pada 31 Januari lalu di sebuah rumah, di Bandar Seri Bandi, di sini.
Peguam, Ahmad Ahnaf Zaimi memohon hukuman dijatuhkan ke atas tertuduh selepas laporan sosial diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Wan Suhaila kemudian membenarkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Mac ini sebagai tarikh laporan sosial, fakta dan hukuman. – UTUSAN