KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 49 tahun yang mengalami tekanan hidup diselamatkan anggota bomba daripada cubaan membunuh diri dalam kejadian di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jalan Sultan Salahuddin, di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerusi kenyataan memaklumkan, dalam kejadian itu, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul di sini turut mendapatkan bantuan daripada seorang penyampai stesen radio bagi memujuk lelaki berkenaan.
Katanya, sebelum itu lelaki berkenaan telah menghubungi PGO Kuala Lumpur untuk memberitahu tindakan yang mahu diambilnya itu.
“Kami menerima panggilan daripada individu terbabit sendiri dan anggota kami berusaha menenangkannya serta mendapatkan maklumat lanjut bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.
“Sebaik menerima maklumat, pasukan dari BBP Sentul telah bergegas ke lokasi dan tiba pada pukul 10:32 pagi. Lelaki itu berada di hujung bangunan tingkat 11 dalam keadaan berbahaya sambil memegang sebilah parang.
“Keadaan itu menyukarkan anggota bomba untuk mendekatinya dan pada masa yang sama, lelaki itu turut meminta untuk bercakap dengan seorang selebriti tanah air yang juga penyampai radio,” katanya.
Katanya, PGO Kuala Lumpur berjaya menghubungi selebriti tersebut dan menyambungkan talian telefon kepada individu itu sebelum penyampai radio itu hadir sendiri ke lokasi kejadian.
“Dengan kepakaran anggota bomba serta bantuan selebriti berkenaan, lelaki itu akhirnya berjaya dipujuk dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Lelaki tersebut bekerja sendiri dan tidak mempunyai kaitan dengan bangunan berkenaan. Motif kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan hidup,” katanya.
Sementara itu, stesen radio Suria FM menerusi kenyataan di media sosial memaklumkan, pelawak, Ajak Shiro merupakan penyampai radio dari stesen berkenaan yang dimaksudkan dalam kejadian itu.-UTUSAN.