Bekas Exco jadi veteran DAP terbaharu tarik diri daripada CEC

Bekas Exco jadi veteran DAP terbaharu tarik diri daripada CEC

PHEE BOON POH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh menjadi veteran DAP terbaharu yang menarik diri daripada menyertai pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu bulan depan.

Boon Poh, 74, berkata, walaupun namanya dicalonkan sekali lagi, namun, beliau membuat keputusan untuk menolak pencalonan itu kerana merasakan masanya sudah tiba untuk berbuat demikian.

Katanya, sepanjang bersama DAP sejak 35 tahun yang lalu, beliau melihat sendiri bagaimana parti itu ‘berperang’ pada setiap Pilihan Raya Umum (PRU) dan dalam perjuangan harian mereka untuk terus ‘hidup’.

“Ramai veteran parti akan mengingati bagaimana kami perlu memastikan obor terus menyala dan jentera parti berfungsi walaupun dana dan tenaga kerja kami terhad pada masa itu.

“Kami melihat banyak parti politik yang serupa tidak berfungsi, namun, DAP terus bertahan kerana sokongan kolektif kami,” katanya di sini, hari ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu mula dicalonkan sebagai ahli DAP pada 1990 dan telah berkhidmat selama lima penggal sebagai ADUN selain tiga penggal sebagai seorang Exco Kerajaan Negeri.

Selain Boon Poh, dua lagi veteran iaitu Penasihat Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai dan Bendahari Kebangsaan parti itu, Fong Kui Lun juga telah mengumumkan penarikan diri mereka dalam pemilihan tersebut sebelum ini.

Dalam pada itu, Boon Poh turut mengakui pengorbanan besar veteran DAP seperti Tan Sri Lim Kit Siang dan ahli keluarganya termasuk dua anak beliau iaitu Lim Guan Eng dan Lim Hui Ying terhadap kesinambungan parti itu selama ini.

“Tiada siapa yang mempertikaikan pengorbanan yang telah dilakukan oleh keluarga Lim. Terdapat ramai juga ahli veteran (DAP) lain yang telah memberikan segalanya untuk tujuan itu.

“Saya sendiri telah melakukan banyak pengorbanan dan sumbangan kewangan untuk memastikan DAP Pulau Pinang terus bertahan pada masa yang paling teruk dan saya melakukannya dengan rela hati tanpa mengharapkan ganjaran atau pengiktirafan,” kata beliau.

Sehubungan itu katanya, sebagai seorang pemimpin veteran, beliau percaya bahawa sudah tiba masanya untuk memberikan generasi akan datang masa depan yang lebih baik untuk memacu parti ke hadapan ke arah yang baharu.

“Kita juga mesti menerima hakikat bahawa parti itu ‘tidak berhutang’ dengan kita,” tambah Boon Poh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya