PETALING JAYA: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terus mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara 60 meter (m) dalam dewan ketika beraksi pada Kejohanan Tiger Paw Invitational di Universiti Clemson California, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Penuntut Universiti Auburn itu melakukan catatan masa 6.60 saat (s) di peringkat separuh akhir untuk layak ke final, sekali gus mengatasi 6.62s yang dilakukan di kejohanan sama dua tahun lalu.
Azeem sebelum itu menamatkan larian dengan catatan masa 6.62s pada aksi saringan sebelum memperbaiki catatannya di separuh akhir, namun dia tidak beraksi pada pusingan akhir.
Pada aksi final selain Azeem, lima lagi peserta tidak berlumba dengan pingat emas menjadi milik Adekalu Fakorede dari Universiti Mississippi State manakala perak dimenangi atlet Universiti Southern California, Travis Williams.
“Selepas dua tahun, kita kembali ke landasan sebenar. Alhamdulillah, rekod kebangsaan,” tulis Azeem di laman sosial, Instagram miliknya semalam.
Sebagai rekod, Azeem sebelum ini mencatat rekod kebangsaan 6.62s dalam acara tersebut ketika menamatkan aksi final di tempat kelima pada Kejohanan Tiger Paw Invitational Februari 2023.
Azeem, 21, kini sedang berusaha untuk memastikan dirinya berada dalam kelompok 16 teratas bagi melayakkan diri ke final Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) Mac ini.-UTUSAN