WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat mengenakan sekatan penerbangan helikopter di sekitar Lapangan Terbang Nasional Reagan Washington tanpa had masa pada Jumaat.
Langkah itu dibuat susulan nahas udara yang meragut 67 nyawa selepas pertembungan antara sebuah jet penumpang dan helikopter tentera, Khamis lalu.
Seorang pegawai FAA memberitahu kebanyakan penerbangan helikopter di dua laluan berhampiran lapangan terbang telah dilarang, kecuali bagi helikopter polis dan perubatan.
Sekatan ini akan kekal sehingga penilaian penuh dibuat, namun tempoh larangan belum ditentukan.
Menurut pegawai, sebanyak 41 mayat berjaya ditemukan setakat Jumaat.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengambil langkah itu bagi mengurangkan risiko pertembungan lain, sementara pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan bangkai pesawat dari Sungai Potomac, dalam insiden nahas udara paling buruk di AS sejak dua dekad lalu.
Ketua Jabatan Bomba Washington, John Donnelly berkata, sebanyak 28 mayat yang ditemukan telah dikenal pasti.
“Kami menjangka akan menemukan kesemua mayat. Itulah sebabnya pasukan kami masih bekerja,” katanya.
Donnelly turut menyatakan pemindahan bahagian badan pesawat yang tenggelam akan memudahkan usaha pencarian lebih banyak mayat.-AGENSI