PETALING JAYA: Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim(JDT), Arif Aiman Hanapi perlu lebih berani mencabar diri untuk beraksi di luar negara.
Ini kerana, jika bintang Harimau Selatan itu mempunyai kualiti, tempatnya dalam kesebelasan utama dalam mana-mana pasukan bakal terjamin.
Pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa berkata, Arif Aiman kena berani berhijrah ke luar negara, bagi mengasah kualiti dan memberi imej lebih tinggi kepada bola sepak negara.
“Kita tidak boleh hanya berpuas hati dengan menjadi juara di peringkat domestik. Pemain Malaysia perlu berani untuk mencuba cabaran di luar.
“Pengorbanan perlu dilakukan, jika mereka mahu menjadi lebih hebat di dalam dan juga luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya tentang pemain Malaysia yang gagal mendapat tempat di luar negara seperti Luqman hakim Shamsudin, Sadek berkata, faktor keyakinan pemain itu juga memberi kesan.
“Rasa rendah diri dan kekurangan keyakinan diri sering menghalang mereka daripada mencapai potensi sebenar mereka,” ujar Sadek.
Menurutnya, faktor sosial, budaya, dan persekitaran seperti makanan dan keluarga menjadi cabaran besar bagi pemain Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar negara.-UTUSAN