DUBAI: Pemain tenis remaja Rusia, Mirra Andreeva, mencipta sejarah apabila menjadi juara termuda kejohanan WTA 1000 selepas menewaskan Clara Tauson dalam aksi final Terbuka Dubai, awal pagi tadi.
Pemain berusia 17 tahun itu, menampilkan aksi cemerlang dengan kemenangan 7-6 (7/1), 6-1 ke atas pemain Denmark itu, sekali gus melengkapkan minggu gemilangnya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sepanjang laluan ke final, Andreeva mengejutkan tiga juara Grand Slam, termasuk pemain pilihan kedua, Iga Swiatek.
Tauson, 22, sebelum ini turut mencipta kejutan dengan menumbangkan pemain No.1 dunia, Aryna Sabalenka, dalam perjalanannya ke pentas akhir.
Namun, Andreeva membuktikan ketangkasannya apabila menundukkan lawannya dalam masa satu jam 46 minit menerusi permainan yang penuh bertenaga.
Set pertama menyaksikan Andreeva menguasai tiebreak sebelum memperkemaskan aksi pada set kedua dengan dua kali mematahkan servis Tauson untuk mendahului 5-1.
Kemenangan itu bukan sahaja memberikannya gelaran WTA 1000 sulung, malah melonjakkan Andreeva ke ranking 10 terbaik dunia buat kali pertama dalam kariernya.
Andreeva juga menjadi pemain berusia 17 tahun pertama menembusi kelompok 10 teratas sejak Nicole Vaidisova melakukannya pada 2007. – AGENSI