Anak FELDA raih Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Lincoln University College

Anak FELDA raih Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Lincoln University College

Saravanan menerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Lincoln University College pada majlis Konvokesyen 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Belajar sekolah biasa pun boleh berjaya dengan cemerlang”, kongsi Saravanan A/L Applasamy.

Pelajar tinggi lampai berusia 28 tahun itu baharu sahaja menerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Lincoln University College pada majlis Konvokesyen 2025 yang menyaksikan dia menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi (Aeronautics) (Kepujian) dengan penuh cemerlang.

Saravanan

Anak kelahiran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Serting Hilir, Negeri Sembilan itu mengakui perjalanan dalam menempuh kejayaan berkenaan bukan mudah memandangkan kehidupan di luar bandar sebagai anak FELDA.

Namun mengambil semangat dan motivasi daripada abang serta kakaknya yang berjaya bekerja sebagai jurutera, ia mendorong Saravan berusaha keras untuk memajukan diri.

“Masa di bangku sekolah saya menerima tawaran memasuki Sekolah Bestari tetapi terpaksa menolak kerana tiada kenderaan. Saya memilih untuk kekal di sekolah biasa di kampung saya.

“Saya cemerlang dalam peperiksaan UPSR (5A) tanpa pergi tuisyen. Selepas itu meneruskan persekolahan ke peringkat menengah. Tamat alam persekolahan saya menyambung pengajian ke peringkat diploma (kejuruteraan).

“Selepas itu saya bekerja sehinggalah pandemik Covid-19 muncul menyebabkan saya kehilangan pekerjaan. Dalam tempoh itu, minat saya untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuteraan (aeronautik) semakin membara. Saya memang dari kecil lagi minat dengan kapal terbang.

“Memandangkan kos untuk menjadi juruterbang mahal, jadi saya memilih untuk menjadi jurutera dalam bidang ini. Lincoln University College ada bidang yang saya inginkan dan menyambung pengajian di sini,” jelasnya yang turut menerima Anugerah Dekan.

Saravanan bersama ibu, Kamala (kiri) dan bapanya, Applasamy.

Tambah Saravan, selain usaha yang tidak pernah mengalah faktor sokongan keluarganya terutama ibu (Kamala) adalah penyumbang terbesar dalam kejayaannya ini.

“Ibu saya mahu anak-anaknya belajar tinggi kerana dia tidak berpeluang untuk ke sekolah. Ibu sayalah yang selalu meningatkan saya bahawa pelajaran itu penting. Malah ada sesekali saya demam pun, dia paksa saya pergi ke kelas supaya saya tidak ketinggalan.

“Walaupun kami bukan daripada golongan senang, tetapi ibu bapa saya akan pastikan saya dan adik beradik yang lain dapat belajar dengan baik,” ujar anak bongsu daripada empat orang adik beradik ini.

Kejayaan terbesar Saravan bukan sahaja menerima Anugerah Dekan, malah lebih manis diberi Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Lincoln University College.

“Saya hanya tahu akan menerima Anugerah Dekan sahaja. Tetapi ketika majlis konvosyen Selasa lalu, nama saya diumumkan sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan.

“Memang terkejut. Begitu juga dengan ibu bapa yang hadir. Mereka sangat gembira.
Kejayaan ini sudah pasti menjadi pemangkin untuk saya meneruskan pengajian di peringkat Master selepas ini.

“Namun buat masa sekarang saya sudah mula bekerja dalam bidang saya dan mahu mencari pengalaman terlebih dahulu. Apa yang saya ingin nasihatkan kepada semua bahawa kejayaan itu hadir dengan usaha. Perlu ada keinginan memperbaiki diri lebih baik,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN