Aldrin Pratama bukan Paiman Shakimon

Aldrin Pratama bukan Paiman Shakimon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengisytiharkan bahawa `Datuk Paiman Shakimon’ yang ditahan oleh pihak berkuasa pada 2021 selepas menghilangkan diri selama sembilan tahun sebenarnya warga Indonesia bernama Aldrin Pratama Widjaja.

Paiman menghilangkan diri sewaktu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini atas sabitan salah dan hukuman penjara 13 tahun bagi kesalahan menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua individu lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

Aldrin ditahan pihak polis sekitar 2021 selepas didapati masuk ke Malaysia menggunakan pasport Indonesia dan hasil semakan menggunakan sistem biometrik cap jarinya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan lelaki itu adalah ‘Paiman bin Shakimon’.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata pihak pendakwaan selaku pemohon gagal membuktikan bahawa lelaki Indonesia Aldrin Pratama Widjaja adalah `Paiman bin Shakimon’. 

Menurut hakim itu, berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan, mahkamah mendapati terdapat perbezaan tarikh lahir dan keputusan cap jari yang hampir sepadan.

“Pada pandangan saya, hasil proses carian sepatutnya sepadan atau tidak sepadan. Hampir sepadan menunjukkan hasil proses carian itu tidak konklusif di mana terdapat keraguan cap ibu jari itu milik Paiman bin Shakimon,” katanya.

Selain itu, pihak pendakwaan juga tidak memberikan sebarang penjelasan berhubung n percanggahan yang terdapat pada butiran penting iaitu tarikh lahir.

“Dalam satu dokumen, tarikh lahir (Paiman) ialah 1 Jun 1960 manakala dalam dokumen yang lain  tarikh lahir ialah 23 Mac 1959. Tarikh lahir Paiman bin Shakimon bercanggahan, namun, pendakwaan tidak pernah menjelaskan percanggahan ini.

“Jika pendakwaan menyatakan Aldrin dan Paiman merujuk kepada orang sama iaitu Paiman, mengapa dia mempunyai dua tarikh lahir berbeza,” kata hakim itu lagi.

Dalam pada itu, dokumen peribadi seperti kad pengenalan penduduk Republik Indonesia (kartu tanda), lesen memandu (dengan izin mengemudi) dan kad kebenaran memegang senjata api (surat izin penggunaan senjata api) adalah atas nama Aldrin dan telah disahkan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia.

“Berdasarkan semua keterangan yang dikemukakan dalam inkuiri ini, saya dapati pendakwaan gagal membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa responden adalah Paiman,” putus Hakim itu.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul manakala Aldrin diwakili peguam-peguam bela, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan enam hari bermula 18 September untuk prosiding inkuiri bagi menentukan sama ada lelaki yang ditahan pada 2021 adalah ahli perniagaan “Datuk Paiman Shakimon”.

Paiman dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua individu bergelar Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006. 

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Bagaimanapun, ketika rayuannya ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi, beliau telah menghilangkan diri dan pada 20 Julai 2012, mahkamah mengeluarkan waran tangkap manakala waran pemenjaraan terhadapnya dikeluarkan pada 11 Oktober tahun sama kerana gagal hadir pada prosiding rayuan.

Aldrin kemudian telah ditahan `selepas menghilangkan diri’ dan dihadapkan ke mahkamah pada 2 Disember 2021. Pada ketika itu, lelaki berkenaan telah menimbulkan persoalan mengenai identitinya.

Pada 2023, Aldrin memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap waran tangkap serta waran pemenjaraan yang dikeluarkan terhadapnya dan Mahkamah Rayuan ketika itu memerintahkan Mahkamah Tinggi untuk menjalankan inkuiri bagi mengenal pasti identiti lelaki itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya