BUKIT MERTAJAM : Sebelas pekerja asing termasuk seorang pengurus wanita ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis yang menjalankan aktiviti mengumpul serta meleraikan sisa elektronik (e-waste) secara haram di Machang Bubok di sini, petang semalam.
Serbuan itu dibuat oleh Unit Risik Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan dibantu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi lain.
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 malam itu, pihaknya berjaya merampas 48 beg bersaiz jumbo yang mengandungi barangan e-waste termasuk tembaga yang setiap satunya dianggarkan seberat hampir satu tan.
Katanya, beberapa mesin yang digunakan untuk memproses e-waste turut disita dengan anggaran rampasan serta sitaan keseluruhan berjumlah RM21.83 juta.
“Kita telah menjalankan risikan selama dua minggu di premis yang terletak di tepi jalan utama ini iaitu dalam kawasan kebun kelapa sawit dengan menggunakan teknologi terkini iaitu dron.
“Selepas menerima maklumat yang mencukupi, maka, kita membuat keputusan untuk menyerbu kawasan kilang ini dengan dibantu oleh JAS Pulau Pinang serta beberapa agensi lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-07-at-15.45.11-600x338.jpeg)
Pekerja asing yang ditahan itu berusia dalam lingkungan umur antara 30 hingga 40 tahun dan terdiri daripada sembilan warga Myanmar termasuk enam orang wanita, seorang lelaki Bangladesh serta seorang pengurus kilang wanita yang berasal dari China.
Mengulas lanjut, Shahrum berkata, kilang yang mula beroperasi sejak 2016 itu dimiliki oleh seorang warga tempatan yang disewakan kepada seorang lagi warga tempatan sebelum disewakan pula kepada warga China untuk menjalankan operasi secara haram itu.
Katanya, siasatan mendapati, kilang berkenaan telah melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 Undang-undang Kecil Pelesenan Premis, Tred, Perniagaan dan Perindustrian manakala kesemua pekerja yang ditahan pula tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Hanya pengurus kilang iaitu wanita dari China itu yang mempunyai pasport, namun, pasportnya pula telah tamat tempoh,” katanya yang memberitahu, kesemua warga asing tersebut diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Norazizi Adinan berkata, rampasan e-waste itu adalah yang terbesar di Pulau Pinang setakat ini.
Beliau berkata, sampel e-waste itu akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi mendapatkan komposisi buangan manakala beg bersaiz jumbo yang mengandungi e-waste yang telah disita itu pula akan dihantar ke stor ekshibit di Gopeng, Perak sementara menunggu siasatan kes selesai.-UTUSAN