Zverev pertahan Djokovic selepas diejek penonton

Zverev pertahan Djokovic selepas diejek penonton

NOVAK Djokovic ketika meninggalkan gelanggang selepas mengalami kecederaan menentang Alexander Zverev pada perlawanan separuh akhir Terbuka Australia 2025 di Melbourne, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Pemain Jerman, Alexander Zverev tampil mempertahankan Novak Djokovic yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika separuh akhir Terbuka Australia, hari ini.

Juara Grand Slam 24 kali itu meninggalkan gelanggang selepas tewas set pertama 7-6 (7/5), sekali gus menyaksikan Zverev mara ke final buat kali pertama dalam kejohanan Grand Slam itu.

Bagaimanapun, tindakan Djokovic itu tidak disenangi sesetengah penyokong yang mencemuhnya kerana merasakan mereka tidak mendapat nilai wang tiket.

Zverev menjelaskan kecederaan koyak otot yang dialami Djokovic mustahil membenarkan bintang Serbia itu terus beraksi untuk tempoh tiga jam lagi.

“Kita tidak patut menyalahkan Novak kerana dia sudah memberikan segalanya dalam sukan ini selama 20 tahun. Dia tahu untuk mengalahkan saya selepas set pertama, dia perlu bermain sekurang-kurangnya tiga jam lagi, dan itu sangat sukar jika ada koyakan atau kecederaan otot.

“Adakah ini cara yang saya mahukan perlawanan berakhir? Sudah tentu tidak, tetapi inilah realiti sukan dan kehidupan,” kata Zverev.

Zverev turut memuji Djokovic yang sebelum ini pernah menjuarai Terbuka Australia walaupun beraksi dengan kecederaan serius.

“Novak pernah menjuarai kejohanan ini dengan koyakan otot di bahagian abdomen, sesuatu yang kebanyakan pemain lain tidak mampu lakukan. Dia juga pernah menjuarai kejohanan ini dengan koyakan otot di hamstring, dan dia adalah juara 10 kali di Melbourne,” katanya.

Pemain Jerman berusia 27 tahun itu kini mengintai gelaran Grand Slam pertamanya selepas sebelum ini tewas di final Terbuka AS 2020 dan Roland Garros 2023. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya