BAITULMUQADDIS : Bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant yang sering berselisih pendapat dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan sekutu kerajaan sayap kanannya, mengumumkan peletakan jawatan dari Parlimen Knesset, semalam.
Gallant dipecat oleh Netanyahu pada November lalu, selepas beberapa bulan berlaku ketegangan mengenai strategi perang terhadap Hamas di Gaza, namun beliau kekal memegang jawatan sebagai ahli Knesset.
“Seperti di medan perang, begitu juga dalam perkhidmatan awam. Ada saat kita perlu berhenti, menilai dan memilih haluan demi mencapai matlamat,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen.
Gallant yang kerap mengkritik dasar Netanyahu dan sekutunya daripada parti-parti sayap kanan serta agama, sebelum ini lantang bersuara mengenai pengecualian yang diberikan kepada lelaki ultra-Ortodoks Yahudi daripada perkhidmatan tentera wajib sehingga sering mencetuskan perdebatan hangat di Israel.
Pada Mac 2023, Gallant dipecat selepas beliau menggesa Kerajaan menghentikan rancangan kontroversi untuk mengurangkan kuasa Mahkamah Agung.
Pemecatannya mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran sehingga memaksa Netanyahu menarik balik keputusan tersebut.
Gallant dan Netanyahu turut berhadapan dengan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), bersama seorang pemimpin Hamas, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung konflik Gaza.
Israel bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Peletakan jawatan Gallant kini mencerminkan tekanan dalaman yang semakin meningkat dalam kerajaan Netanyahu, terutamanya berhubung isu-isu dasar yang memecahbelahkan rakyat Israel.-AGENSI