KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya membuat peminat kembali tersenyum selepas mereka mengejutkan pasangan No. 4 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, sebentar tadi.
Gandingan No. 24 dunia itu menumpaskan beregu No. 1 Indonesia tersebut menerusi kemenangan rubber set 15-21, 21-17, 21-13 dalam masa 62 minit.
Kemenangan itu juga menyaksikan Yew Sin-Ee Yi akhirnya keluar daripada kemerosotan prestasi selepas mereka berehat panjang akibat kecederaan lutut yang menimpa Ee Yi pada hujung 2023.
Yew Sin berkata, tidak memberi tekanan yang besar bersama pasangannya menjadi kunci kejayaan mereka hari ini susulan terkandas di pusingan pertama pada tiga kejohanan terakhir musim lalu iaitu, Terbuka Arctic, Terbuka Denmark dan China Masters.
“Kami turun ke gelanggang hari ini mahu memenangi perlawanan itu. Jadi kami masuk ke gelanggang lebih santai namun bukan tidak mengekalkan fokus. Walaupun prestasi hambar kami hanya main yang terbaik.
“Kami tidak memberi tekanan yang besar. Hanya memberi fokus kepada diri sendiri sebab tahun lalu permainan kami tidak begitu baik,” kata Yew Sin kepada pemberita sejurus tamat perlawanan, hari ini.
Pernah berada di kedudukan No. 6 dunia pada Jun 2023, Yew Sin-Ee Yi mengalami kejatuhan ranking secara mendadak apabila mereka kerap tersingkir seawal pusingan pertama dalam kejohanan yang disertai pada tahun lalu.
Beregu yang sedikit masa dulu pernah menggalas tanggungjawab sebagai pasangan No. 2 Malaysia dijangka bertemu sama ada gandingan Korea Selatan, Jin Yong-Kang Min Hyuk atau Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh dari Taiwan pada pusingan kedua, esok. – UTUSAN